“Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan
susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu
bapamu; dan kepada Aku-lah tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)
Air susu ibu ialah satu
sebatian tiada tandingan yang diciptakan oleh Allah demi memenuhi keperluan
nutrisi bayi dan melindunginya daripada sebarang jangkitan. Keseimbangan
makanan berkhasiat dalam air susu ibu adalah pada kadar yang tepat dan
bersesuaian dengan tubuh bayi yang belum matang.
Pada masa yang sama, air
susu ibu juga kaya dengan nutrien yang mempercepat pertumbuhan sel-sel otak dan
perkembangan sistem saraf. Makanan buatan untuk bayi yang disediakan dengan
bantuan teknologi masa kini tidak dapat menggantikan makanan ajaib ini.
Memantapkan
Sistem Imunisasi
Senarai manfaat air susu
ibu kepada bayi bertambah setiap hari. Kajian menunjukkan bahawa bayi-bayi yang
diberi minum air susu ibu terlindung daripada penyakit berkaitan sistem
pernafasan dan penghadaman. Ini kerana antibodi-antibodi yang terdapat di dalam
air susu ibu menyediakan satu perlindungan langsung daripada jangkitan. Sifat
anti-infeksi lain air susu ibu adalah menyediakan satu persekitaran sesuai
untuk bakteria “bermanfaat” yang dipanggil sebagai “flora normal” sekaligus
menangkis serangan bakteria, virus dan parasit berbahaya. Tambahan pula,
didapati bahawa terdapat beberapa unsur di dalam air susu ibu yang mengawal
sistem imunisasi terhadap penyakit berjangkit dan membolehkannya berfungsi
dengan lebih teratur.
Kaya Dengan Nutrisi
Oleh kerana air susu ibu
telah direka secara khusus, ia merupakan makanan yang paling mudah dihadam oleh
bayi. Selain kaya dengan nutrisi, ia juga mudah dihadam oleh sistem penghadaman
bayi yang sensitif. Memandangkan bayi menggunakan sedikit sahaja tenaga untuk
mencerna air susu ibu, maka tenaga selebihnya dapat disalurkan untuk fungsi
tubuh yang lain, pertumbuhan dan perkembangan organ.
Air susu ibu yang
mempunyai bayi pra-matang mengandungi tahap zat lemak, protein, natrium,
klorida dan besi yang lebih tinggi untuk menampung keperluan bayi. Ianya telah
dibuktikan bahawa fungsi mata bayi pra-matang yang diberi minum air susu ibu
adalah lebih baik dan lebih cemerlang dalam ujian kecerdasan. Tambahan pula,
mereka turut memiliki banyak kelebihan lain.
Omega-3
Kandungan minyak omega-3
asid alfa linoleat menjadikan air susu ibu penting untuk perkembangan bayi.
Selain menjadi sebatian penting untuk otak dan retina manusia, ia juga amat
mustahak bagi bayi-bayi yang baru dilahirkan. Omega-3 secara khusus penting
sepanjang masa kehamilan dan peringkat awal usia bayi demi perkembangan otak dan saraf yang normal. Ramai
saintis menegaskan kepentingan air susu ibu terutamanya sebagai satu sumber
omega-3 semulajadi dan sempurna.
Mengurangkan Risiko
Sakit Jantung
Selain daripada itu,
kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis Universiti Bristol, United
Kingdom mendapati bahawa antara kebaikan jangka panjang air susu ibu adalah
kesan positifnya terhadap tekanan darah, yang mana ia dapat mengurangkan risiko
serangan jantung. Kumpulan penyelidik tersebut menyimpulkan bahawa sifat
perlindungan yang terdapat di dalam air susu ibu disebabkan oleh kandungan
nutrisinya. Menurut hasil kajiannya yang diterbitkan dalam jurnal perubatan
Circulation, bayi yang diberi minum air susu ibu kurang berisiko menghidap
penyakit jantung.
Kehadiran rantaian
panjang asid lemak poli tidak tepu (polyunsaturated fatty acids) dalam air susu
ibu (untuk mencegah pengerasan arteri) dan hakikat bahawa bayi yang diberi
minum air susu ibu menggunakan sedikit natrium (berkait rapat dengan tekanan
darah) serta tidak mengalami pertambahan berat badan berlebihan merupakan
antara cara air susu ibu memberi manfaat kepada jantung.
Sebagai tambahan, satu
pasukan diketuai oleh Dr. Lisa Martin, dari Pusat Perubatan Hospital
Kanak-kanak Cincinnati di Amerika, telah menemui kadar kandungan hormon protein
(adiponectin) yang tinggi dalam air susu ibu.
Kandungan adiponectin
yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan kurangnya risiko serangan jantung.
Tahap adiponectin yang rendah ditemui pada orang yang mengalami kegemukan dan
berisiko tinggi mengalami serangan penyakit jantung. Maka disepakati bahawa bayi
yang diberi air susu ibu mempunyai risiko kegemukan yang rendah dengan
kehadiran hormon ini.
Tambahan pula, mereka
juga menemui sejenis hormon yang dipanggil sebagai leptin dalam air susu ibu
yang mempunyai peranan utama dalam metabolisme lemak. Leptin dipercayai
berfungsi menyampaikan isyarat kepada otak bahawa terdapat lemak pada tubuh.
Berdasarkan pendedahan Dr. Martin, hormon-hormon yang diserap semasa peringkat
bayi melalui air susu ibu dapat menurunkan risiko pelbagai penyakit seperti
obesiti, diabetes tahap dua dan daya tahan insulin, serta penyakit jantung
koronari.
Fakta tentang “Makanan
Tersegar”
Fakta-fakta tentang air
susu ibu tidak tamat di sini. Sumbangannya terhadap kesihatan bayi berkembang
mengikut fasa pertumbuhan bayi dan kandungannya berubah demi memenuhi keperluan
nutrisi bayi mengikut peringkat-peringkat tertentu. Unsur gula dan lemak dalam
air susu ibu, yang sentiasa tersedia dan pada suhu yang sesuai, memainkan
peranan penting dalam perkembangan otak. Tambahan pula, elemen lain seperti
kalsium turut memberi sumbangan dalam perkembangan tulang-tulang bayi.
Meskipun dinamakan susu,
namun sebahagian besar sebatian ajaib ini sebenarnya terdiri daripada air. Ini
merupakan ciri terpenting kerana selain daripada makanan, bayi juga memerlukan
cairan dalam bentuk air. Kebersihan sepenuhnya tidak mungkin didapati dalam air
atau bahan makanan selain daripada air susu ibu. Namun air susu ibu yang
merangkumi 90% air dan tidak kurang, memenuhi keperluan air bayi dalam cara
yang paling bersih dan sihat.
Susu
Ibu dan Kecerdasan
Kajian saintifik
membuktikan bahawa pembangunan kognitif di kalangan bayi-bayi yang diberi air
susu ibu adalah lebih hebat berbanding bayi lain. Satu analisis perbandingan
berkaitan dengan bayi yang diberi air susu ibu dan bayi yang diberi susu
formula oleh James W. Anderson—seorang pakar dari Universiti Kentucky—mendapati
bahawa minda bayi yang diberi minum air susu ibu adalah lima kali lebih tinggi
berbanding dengan bayi lain. Hasil daripada kajian ini, didapati bahawa kecerdasan
diperoleh daripada air susu ibu sehingga enam bulan, dan bayi yang disusui
kurang daripada lapan minggu tidak menunjukkan sebarang kesan dari segi
kecerdasan minda.
Benarkah Air Susu Ibu
Menentang Kanser?
Hasil daripada kesemua
kajian yang dijalankan, terbukti bahawa air susu ibu, yang ratusan penulisan
mengenainya telah diterbitkan, melindungi bayi daripada kanser. Hakikat ini
telah diketahui meskipun mekanismenya belum difahami sepenuhnya. Sewaktu sebuah
protein dari air susu ibu membunuh sel-sel tumor yang dibiakkan dalam makmal
tanpa merosakkan sebarang sel sihat, para pengkaji menyatakan bahawa satu
potensi yang hebat telah ditemui.
Catharina Svanborg,
seorang profesor imunologi klinikal Universiti Lund di Sweden, ialah ketua
kumpulan peneliti yang menemui rahsia ajaib air susu ibu ini. Pasukan tersebut
menerangkan keupayaan air susu ibu dalam menyediakan perlindungan terhadap
pelbagai bentuk kanser sebagai satu penemuan yang menakjubkan.
Pada mulanya, para
peneliti mengkaji sel-sel lendir usus yang diambil daripada bayi-bayi yang bari
dilahirkan dengan air susu ibu. Mereka mendapati bahawa penyakit pneumonia yang
diakibatkan oleh bakteria Pneumococcus dapat dihentikan dengan berkesan oleh
air susu ibu. Bahkan bayi yang diberi air susu ibu amat kurang mengalami
masalah pendengaran berbanding bayi yang diberi minum susu formula dan risiko
jangkitan penyakit pernafasan yang terlalu rendah.
Selepas beberapa siri
penyelidikan, didapati bahawa air susu ibu juga memberi perlindungan terhadap
kanser. Setelah menunjukkan bahawa kanser limfa di kalangan kanak-kanak yang
diberi susu formula semasa fasa kanak-kanak berlaku sembilan kali ganda, mereka
menyedari bahawa hasil yang sama juga berlaku untuk pelbagai jenis kanser yang
lain.
Berdasarkan keputusan
tersebut, air susu ibu berupaya mengenal pasti sel-sel kanser secara tepat lalu
memusnahkannya. Zat bernama alpha-lac (alphalactalbumin) yang banyak di dalam
air susu ibu menjejak dan membunuh sel-sel kanser. Alpha-lac dihasilkan oleh
sejenis protein yang membantu pengeluaran gula laktosa dalam air susu ibu.
Rahmat Tiada Bandingan
Ini adalah Satu Anugerah dari Allah
Satu lagi ciri
menakjubkan air susu ibu adalah hakikat bahawa ia amat bermanfaat untuk diberi
kepada bayi selama dua tahun terawal.
Maklumat penting yang
hanya diketahui oleh sains baru-baru ini, telah dinyatakan oleh Allah 14 kurun
yang lalu melalui ayat:
“Dan
ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi
orang yang menyempurnakan penyusuan itu; …” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)
Si ibu tidak merancang
untuk menghasilkan air susu ibu, sumber khasiat terbaik untuk bayi tidak
berdaya yang memerlukan makanan dalam kandungannya, serta tidak menentukan
tahap pelbagai nutrisi di dalamnya. Allah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui
keperluan setiap makhluk dan mengasihi mereka, Yang menciptakan air susu ibu
untuk bayi di dalam tubuh si ibu.
MasyaAllah…indahnya penyusuan…begitu banyak hikmahnya pada ibu dan
bayi terutamanya….
TQ Allah masih izinkan kami termasuk dalam golongan ibu2 yang menyusu…
0 comments:
Post a Comment